Abam Bocey Ditipu Dengan Sebuah Syarikat



BUKAN petama kali kita dengar dan baca kisah artis Malaysia ditipu pakej umrah.

Jika diimbas dua tahun sebelum ini, penyanyi dan bekas peserta Akademi Fantasia iaitu Nubhan dan Firman juga mengalami nasib yang sama.

Terbaharu menerusi portal hiburan berlainan melaporkan pelawak terkenal, Abam Bocey telah ditipu oleh sebuah syarikat pelancongan yang menawarkan pakej umrah sehingga menyebabkan kerugian kos bernilai puluhan ribu ringgit.

Kata Abam, dia dan keluarga dijadualkan berlepas pada Disember tahun lalu, pun begitu, selepas beberapa pembayaran dibuat syarikat tersebut terus senyap tanpa khabar.

"Selepas membuat bayaran penuh, pemilik syarikat terbabit menunda beberapa kali tarikh penerbangan membuatkan saya berasa tidak sedap hati.

"Selepas itu, pemilik syarikat terus senyap sehingga sekarang, Sepatutnya saya dan ibu bertolak pada 5 Disember lalu.

"Bagaimanapun, impian kami untuk menjejakkan kaki ke tanah suci buat kali pertama musnah," katanya.

Kata Abam lagi, tiada sebarang tindakan undang-undang akan diambil dan reda dengan apa yang telah terjadi.

"Barangkali mungkin belum rezeki saya membawa ibu menunaikan ibadah.

"Insya-ALLAH kami bercadang menunaikan umrah hujung tahun ini atau awal tahun depan," ujarnya.