Gadis 'mata naga' dengan imej terbaharu



SEORANG wanita yang melukis lebih daripada 50 jenis tatu pada tubuhnya dalam tempoh tujuh tahun termasuk mentatu biji matanya berwarna biru mengakui dia jatuh cinta pada imej baharunya itu.

Amber Luke, 23, membelanjakan lebih 6,000 pound sterling untuk mentatu dan melakukan seni badan lain sejak berusia 16 tahun.

Malah dia turut memisahkan lidahnya kepada dua bahagian.

Terbaharu, Amber nyaris berdepan risiko buta seumur hidup apabila mentatu biji matanya berwarna biru.



"Prosedur untuk mentatu biji mata saya hanya mengambil masa selama 40 minit.
"Ia amat menyakitkan. Mata saya terbuka manakala jarum dimasukkan ke dalam mata sebanyak empat kali. Saya tidak dapat melihat selama tiga minggu," katanya.

Amber yang berasal dari Australia memberitahu MailOnline:

"Saya digelar sebagai 'Blue Eyed White Dragon' di kalangan rakan-rakan. Mereka panggil saya dengan gelaran itu kerana mata dan lidah saya kelihatan seperti seekor naga."

"Saya lihat diri saya sebagai kelihatan kosong, jadi saya benci dengan wajah saya sebelum ini. Ia amat membosankan," katanya.



Amber sering berkongsi wajah terbaharunya itu dengan seramai 21,000 pengikutnya di Instagram.

Kini dia merancang untuk membuat gigi depannya kelihatan tajam seperti puntianak.