"Itu Sejarah Hitam Yang Saya Nak Lupakan" - Shukri Yahaya



Pelakon Shukri Yahaya mengakui lebih berhati-hati dalam setiap tindakan yang dilakukan terutama yang membabitkan media sosial.

Serik dengan kontroversi mesej sensual di aplikasi WeChat yang berlaku pada Ramadan tahun lalu, Shukri akui insiden terbabit mematangkannya.


"Saya banyak habiskan masa dengan bekerja supaya saya tidak ingat lagi perkara hitam itu. Hati-hati saya sekarang sudah jadi 200 peratus!

"Apa yang terjadi kepada seorang pelakon lelaki baru-baru ini sama seperti yang pernah saya rasai pada bulan yang sama tahun lepas jadi, sedikit sebanyak rasa dapat rasakan apa yang dia rasa.

"Individu yang melaluinya akan menjadi lebih matang dan berjaga-jaga.

"Tambah-tambah saya yang sudah berkahwin, punyai isteri, anak dan keluarga yang perlu dijaga hati. Jujurnya itu sejarah hitam yang saya nak lupakan," katanya kepada Astro Gempak.

Shukri ditemui pada majlis Tayangan Eksklusif drama komersial Pelangi Cinta di Pavilion, Kuala Lumpur semalam.

Impak daripada kejadian itu, Shukri akui dia lebih memencilkan diri dan jarang menghadirkan diri ke acara hiburan.

"Saya jadi lebih tertekan apabila orang sekeliling menganggap perkara itu serius dan ia menyusahkan saya hingga membuatkan saya mendiamkan diri.

"Saya lebih bermuhasabah diri dan jarang turun ke acara hiburan sebab takut tersalah cakap. 

"Tapi paling sukar untuk saya mendapatkan semula kepercayaan isteri," jelasnya.

Dunia hiburan tahun lalu digemparkan dengan pendedahan seorang gadis bernama Sarah Danielle yang didakwa telah digoda oleh Shukri Yahaya menerusi aplikasi WeChat.

Sarah mendakwa Shukri menghantar kiriman mesej tidak senonoh termasuk meminta untuk melihat buah dadanya.

Shukri bagaimanapun menafikan perkara terbabit.

Baru-baru ini pula, tular skandal panggilan video lucah seorang pelakon mirip Syafiq Kyle bersama seorang wanita bernama Mira.

Enggan memanjangkan isu terbabit, Syafiq minggu lalu telah tampil menjelaskan perkara sebenar.