Nazrief Nazri bantu ibu berniaga di bulan Ramadan



SETIAP kali tibanya bulan Ramadan, sering kita baca atau dengar, terdapat sesetengah artis yang akan mengambil keputusan untuk berehat daripada aktiviti seni mereka, namun berbeza bagi pelakon meningkat naik, Nazrief Nazri yang tetap akan bekerja seperti biasa.

Menurut anak muda 27 tahun kelahiran Negeri Sembilan ini, bulan Ramadan bukanlah alasan untuk dia berehat.

"Saya tak pernah tetapkan bila tiba sahaja bulan puasa, saya akan berehat daripada berlakon. Bagi saya, kalau ada tawaran memang saya akan ambil.  Malah rasanya sepanjang bergelar pelakon, setiap kali bulan Ramadan memang saya akan bekerja.

"Tak pernah lagi cuti.  Cuma bezanya pada tahun ini, jadual kerja saya tidak begitu padat.  Saya hanya berlakon memegang watak pembantu untuk drama TV3 Slot Akasia, Cinta Bukan Kristal, jadi adalah masa terluang sedikit," katanya.

Biarpun ada masa terluang namun Nazrief tetap mencari peluang menambah pendapatan dengan membantu ibunya berniaga menjual makanan kering.

“Bila tak berlakon, saya akan berniaga kecil-kecilan membantu ibu menjual makanan kering seperti serunding daging, sambal ikan bilis dan banyak lagi.
“Sekarang ini saya akan bermula di media sosial kemudian pergi ke beberapa lokasi yang pihak pengurusan saya sudah aturkan seperti di Putrajaya, Johor dan Melaka. Manakala di Singapura masih dalam perancangan,” katanya.

Berbicara soal juadah berbuka puasa pula, dia lebih berselera dengan kuih muih yang dibuat sendiri oleh ibunya.


“Bila waktu berbuka saya lebih suka air tangan ibu seperti kuih tepung pelita, kuih buah Melaka dan kuih sopang macam badak berendam tapi stail Negeri Sembilan, yang pasti lebih sedap,” katanya.