Ramli MS masak sendiri asam pedas setiap kali hari raya



JUADAH seperti rendang, lemang, soto atau pun lontong adalah makanan biasa yang menjadi pilihan kebanyakan orang bagi menyambut 1 Syawal.

Penyanyi Datin Alyah bagaimanapun mendedahkan suaminya, pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS mempunyai menu tersendiri untuk dinikmati pada pagi raya.

Kata Alyah, setiap tahun Ramli akan memasak sendiri asam pedas untuk dimakan bersama nasi putih dan ia adalah juadah wajib setiap kali lebaran.

"Suami saya memang penggemgar asam pedas, sampaikan pagi raya pun dia nak makan asam pedas yang dimasaknya sendiri.

"Pada awal dahulu saya pelik juga dengan sikapnya itu tetapi lama-kelamaan saya sudah terbiasa malah membantu menyediakan bahan-bahan untuk memasak asam pedas.

"Tetapi saya tidak pernah masak asam pedas untuknya kerana dia sangat cerewet dan lebih baik dia masak sendiri dan saya makan sahaja," katanya.

Dalam pada itu, Alyah berkata, sehari sebelum hari raya, Ramli akan berkungjung ke sebuah pasar di Petaling Jaya untuk membeli bahan-bahan memasak asam pedas.

"Suami saya memang sejak dulu pergi ke pasar itu sahaja untuk beli barang-barang basah dan kalau kedai itu tutup memang tak masaklah asam pedas.
"Tetapi kebiasaannya sehari sebelum raya, dia akan beli bahan-bahan dan saya akan tolong sediakan untuk memudahkan dia memasak," ujarnya.

Bercakap mengenai persiapan raya, Alyah berkata, dia akan menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur bersama ibunya memandangkan adik-beradiknya yang lain berhari raya di rumah mertua.

"Persiapan sederhana sahaja kerana raya pun di Kuala Lumpur dan saya akan bawa mak ke sini kerana di kampung tiada siapa yang pulang," katanya.