Kisah Di Rasuk Penunggu Kilang

Kisah ini terjadi lebih kurang pada tahun 1999 yang lalu. Walaupun kisah ini telah lama berlalu tetapi tetap segar dalam ingatan aku. Semasa kejadian itu berlaku, aku masih bekerja di salah sebuah kilang di kampung aku. Kilang ini didirikan di kawasan di dalam kebun. Namun pada masa itu kawasan ini pun sudah berkembang untuk kawasan perkilangan. Dahulunya tanah ini adalah milik persendirian namun telah dijual kepada pihak yang ingin membuka kilang di kawasan kampung kami.

Ketika perkara pelik itu berlaku, aku pun ada ditempat kejadian. Dan benda itu benar-benar terjadi. Pada suatu petang, lebih kurang pukul 5 seperti biasa pekerja-pekerja akan bergegas untuk pulang kerana mengejarkan rancangan kegemaran dekat tv iaitu cerita jepun. Aku pun meminati cerita jepun itu tapi aku tak ingatlah tajuk cerita jepun tersebut. Memang masa tu cerita itu menjadi kegemaran ramai ketika itu.

Dalam agak tergesa-gesa tu, ada seorang pekerja wanita ni kerana terpijak sesuatu yang licin lalu terjatuh. Aku masa tu pun terkejut juga la sebab suara perempuan itu pun mengerang kesakitan. Kepala wanita tu berdarah dengan teruk kerana kepalanya terhantuk dan terkena sesuatu yang tajam berdekatan dengan pagar kilang tersebut. Kesian juga aku tengok wanita tersebut. Kepalanya berdarah pun boleh tahan banyak la juga, habis merah jalan raya kat situ akibat dengan kesan darahnya.

Pada keesokkan harinya, wanita yang cedera semalam pun datang kerja seperti biasa. Aku pun hairan la kenapa dia tak ambik mc ke sebab aku tengok luka dia teruk juga. Tapi dari pandangan aku luka wanita terebut dah nampak elok tak tahu la. Aku pelik la juga sebab semalam bukan main darah banyak, siap sekuriti berlari tengokkan keadaan dia. Ramai juga la yang bagi bantuan wanita itu.

Semasa waktu lunch hour, semua pekerja tengah makan di tempat disediakan, tiba-tiba terdengar suara seorang wanita berteriak hysteria. Rupa-rupanya perempuan kelmarin yang terjatuh itu. Lama jugak dia macam tu dan orang sekeliling kelam kabut melihat keadaannya yang menjerit-jerit seperti itu. Banyak yang fikir dia mempunyai masalah. Tapi bila melihat keadaannya seperti menarik-narik rambut dan mencakar diri sendiri ramai yang menjadi takut. Oleh kerana keadaan darurat, pengurus kilang bertanggungjawab terpaksa menghantar wanita tersebut pulang ke rumah.

Pada keesokkan harinya pulak, kejadian menjerit-jerit berlaku lagi. Tapi ini terjadi kepada pekerja kilang yang lain. Bila sorang reda, sorang pulak menjerit-jerit seperti bersambung-sambung. Sampaikan dalam sehari tu kilang terpaksa tutup akibat perkara misteri ini berlaku. Pengurus kilang pun tidak tahu apa perlu buat dan meminta bantuan pakar tradisional. Nasib baik aku tidak terkena gangguan tersebut.

Kejadian ini pulak berlaku berlarutan hampir setengah bulan, ada ramai yang berhenti kerja kerana takut perkara pelik berlaku lagi. Kalau nak ke tandas pun perlu membawa teman kerana salah seorang pekerja kena terkunci dengan sendirinya. Jadi, pekerja-pekerja kilang menjadi takut untuk bekerja kilang terebut kerana hal mistik seperti itu dan memutuskan untuk berhenti bekerja.

Setelah selidik punya selidik, rupanya ada cerita disebalik apa yang berlaku. Cerita ini aku dapat tahu daripada pak guard yang menjaga kilang tempat aku bekerja. Dia berkata dia pernah melihat ada satu lembaga putih terbang dari pokok besar di hadapan kilang dan terus menjilat pada kesan darah wanita yang terjatuh dan terlanggar pagar itu. Patutlah semasa orang ramai menolong wanita tersebut, aku ternampak pak guard macam terkaku sementara bila di panggil baru dia bertindak untuk membantu wanita tersebut. Rupa-rupanya ada lembaga dari pokok sedang menjilat darah wanita itu.

Pak guard juga berkongsi cerita asal usul mengenai tempat ini sebelum kilang ini wujud. Dulu ada seorang pemuda yang kaya raya kat kampung ni dan dia takut hartanya di ceroboh oleh orang kampung jadi dia telah menanamkan setiap penjuru tanah nya dengan tengkorak orang yang dah meninggal dunia. Dia menanam itu kerana dia nak benda tu yang menjaga tanahnya. Tetapi, apabila orang berada tu meninggal dunia, dia lupa untuk menggeluarkan tengkorak di empat penjuru itu sampailah tanah itu dijual dan didirikan kilang di situ.

Jadi aku pun cuba untuk menceritakan kepada pihak atasan tetapi malangnya mereka tidak mempercayai cerita tersebut. Mereka mengatakan itu semua tahyul semata-mata. Budak-budak yang terkena gangguan itu menceritakan bahawa dada mereka seolah-olah dipukul dengan kepala-kepala tengkorak tanpa henti. Ada juga mereka melihat tengkorak beramai-ramai depan mata mereka berterbangan di hadapan mereka. Itu yang buat mereka menjerit –jerit seperti hysteria.

Apabila mendengar cerita daripada mangsa-mangsa ganguan tersebut, penguru kilang pun berjumpa dengan seorang ustaz dan meminta tolong untuk menghalau penunggu itu. Sebelum itu, kami membantu ustaz untuk mencari lokai tengkorak yang ditanam empat penjuru barulah ustaz dapat melakukan membersihkan kilang itu dari makhluk tersebut. Dan lepas tu kilang tu pun kembali aman.