Tahukah Anda Kenapa Asrama Sekolah Selalu Ada Cerita Seram?

Pernah kah anda tertanya-tanya mengapa dan bagaimana cerita seram asrama boleh terjadi? Bagaimana asrama tidak kira lelaki atau perempuan menjadi tumpuan atau lokasi utama untuk pelbagai cerita seram yang memang benar terjadi dan juga masih misteri? Mengapa makhluk paranormal yang dipanggil hantu selalu memilih asrama sekolah untuk menakutkan pelajar dan guru?

Sebelum anda teruskan, admin ingin ingatkan artikel ini bukanlah artikel cerita seram tetapi perbincangan mengapa asrama sering menjadi tempat yang dihantui dan juga sebagai peringatan dan pengajaran kepada penghuni asrama khususnya pelajar supaya lebih berhati-hati agar tidak diganggu makhluk yang dipanggil hantu.

Antara sebab utama mengapa asrama sering dihantui ialah...

1. Sikap Penghuni Asrama.
Dari pelbagai cerita yang admin dengar, sikap pelajar lah yang sering menjadi punca utama kenapa penghuni asrama diganggu 'hantu'. Dari pelbagai kisah seram, sering ada kes pelajar kerasukan. Biasanya, penghuni asrama enggan menjaga kebersihan terutama kaum perempuan. Ya, perempuan.

Pernah admin dengar, pelajar perempuan (ya, bukan semua) jemur tuala wanita yang sudah digunakan. Ada juga yang membuangnya begitu sahaja ke luar tingkap terutama pelajar perempuan yang duduk di tingkat atas asrama di mana belakang bangunan adalah hutan atau semak-samun. Ya, memang ada.

Lebih parah lagi, yang simpan tuala wanita yang sudah digunakan sebelum membuangnya. Kononnya "malas" atau "tiada tempat buang". Pernah kawan admin ceritakan, pelajar perempuan jemur tuala wanita di atas pagar. Buat apa jemur atas pagar?! Lupa atau nakal? Hmm...

Ingat, hantu (jin dan syaitan) suka bau darah. Walaupun 'lampin pakai buang' anda sudah dicuci, namun belum tentu bau juga hilang. Jarang betul orang cuci tuala wanita sampai 100% hilang bau. Maksud admin, bila kali terakhir anda cuci tuala wanita menggunakan sabun?

Kerana itulah, anda harus mengurus tuala wanita anda dengan cermat dan betul. Bukan sahaja untuk mengelakkan daripada dihantui makhluk yang seram, tapi juga untuk mengurangkan kebarangkalian muka anda ditampar warden! Serius, urus benda tu dengan betul. Jangan jadi pengotor. Buang di tong sampah. Biar bercampur dengan bau sampah.

Selain daripada tuala wanita, ada juga pelajar yang terlalu nakal. Contohnya macam orang cakap tempat tu benar-benar keras, kadang-kadang ada yang terlalu berani tanpa kekuatan iman berseloroh atau tidak menghormati tempat yang dimaksudkan. Anda mungkin tidak nampak 'mereka' tapi 'mereka' boleh nampak anda. Jika anda terlalu tinggi diri tanpa kekuatan iman, hantu hanya tunjukkan diri sambil tunjukkan jari tengah sahaja sudah boleh buat anda histeria sampai masuk hospital.

Ada juga cerita pelajar kacau busut. Busut bukan sahaja dalam budaya Melayu, tetapi dalam budaya pelbagai kaum di Borneo adalah tempat yang harus dihormati. Dari Tanah Melayu, sampai Sumatera, Jawa, Borneo, busut sering dikaitkan dengan pelbagai cerita seram jika digganggu. Kononnya ia adalah tempat tinggal jin atau bunian.

Busut yang anda nampak kecil, tidak semestinya kecil untuk mahluk lain. Ada orang biasanya kanak-kanak main atas busut tiada apa-apa yang terjadi. Tapi bila orang dewasa buat benda sama atas busut, masa tu juga kena sampuk atau "keteguran". Ini menunjukkan 'mereka' juga faham. Jadi, jika ada busut berhampiran asrama, pelajar-pelajar hendaklah hormat. Tidak semestinya hormat 'hantu' dalam busut, tapi haiwan yang ada dalam busut seperti anai-anai.

Ada juga cerita pelajar asrama main permainan memanggil roh seperti Ouija dan Spirit of the Coin. Pernah ada kes pelajar (bukan asrama) main permainan seram ini dan akhirnya dirasuk secara beramai-ramai. Pelajar-pelajar tersebut bukan pelajar asrama tapi pelajar yang mengikuti aktiviti perkhemahan di padang sekolah. Padan muka.

Ada juga yang pakai darah supaya lebih seram dan seronok katanya. Daripada bazir darah buat benda mengarut, mengapa tidak dermakan di hospital?

2. Sejarah.
Ya, sejarah. Biasanya mesti ada cerita bangunan asrama atau hospital yang dihantui pernah menjadi markas tentera Jepun, kan? Tidak semestinya hantu Jepun sahaja yang ada, tapi juga roh mereka yang terseksa semasa zaman Jepun. Tentera Jepun di Borneo dan Tanah Melayu serta Singapura masa perang dunia kedua memang kejam dan zalim. Dan Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, lebih 70 tahun dahulu. Mungkin macam lama tapi sebenarnya baru sekejap dalam sejarah dunia. Jadi tidak hairan lah jika bangunan seperti hospital, sekolah dan asrama yang dibina bekas tapak seksaan daripada tentera Jepun berhantu dan mengandungi pelbagai cerita seram yang memang benar dan sebaliknya.

Tidak semestinya sejarah zaman penjajahan Jepun sahaja puncanya, kes-kes seperti bunuh diri dan penyembahan jin dan syaitan juga ada. Ya, penyembahan hantu di sekolah.

Daripada cerita cikgu admin masa sekolah dulu, dia pernah mengajar di satu tempat yang admin lupa (Bukan lupa sebenarnya cuma admin kurang fokus masa tu) nama tempatnya. Kalau tidak silap, sama ada di semenanjung Malaysia atau bahagian Utara Sabah (atau lain lagi, entahlah). Tapi guru yang menceritakannya sendiri mendakwa tempat tersebut memang seram.

Hendak dijadikan cerita, cikgu admin yang admin namakan Bahar (bukan nama sebenar.... dan bukan nama minuman keras) berasa musykil akan pelajar-pelajar di kelasnya. Bayangkan, pelajar kuat tidur, berbual masa guru mengajar, nakal boleh mendapat keputusan yang cemerlang dalam ujian. Jadi, Bahar pun adakan ujian dan sengaja dia meletakkan topik yang belum pernah diajar di kertas ujian. Kebetulan juga dia guru ganti.

Ujian tidak diadakan secara mengejut. Jadi Bahar memang mengumumkannya lebih awal. Pada waktu petang, Bahar mendapati beberapa orang pelajar (lelaki atau perempuan atau keduanya...entah lupa) menaburkan beras di dalam bilik darjah. Keesokannya, mereka (yang menabur beras) mendapat markah yang sangat memuaskan. Dan soalan daripada topik yang belum pernah diajar, mereka dapat menjawabnya dengan betul.

Mungkin hantu yang disembah itu tidak tinggal di sekolah. Mungkin ia bersama tuannya. Tapi bayangkan jika salah-seorang tuan yang menyembahnya tinggal di asrama? Apa-apa pun, ia hanya sekadar cerita seram yang mungkin benar atau tidak. Bahar sebenarnya menceritakan lebih banyak lagi daripada ini.

Dan bagaimana jika tuan hantu itu tidak kira pelajar atau guru atau pengawal mati di sekolah? Rasanya di mana hantu tersebut akan merayau?

3. Kes Psikologi Pelajar Asrama Yang Mendorong Cerita Seram.
Ini yang paling admin percaya dan admin anggap paling benar. Biasanya, ada cerita pelajar yang mungkin keluar malam (dengan atau tanpa kebenaran) dan terkejut atas sebab-sebab tertentu. Suasana malam yang sunyi dan menyeramkan mendorong pelajar untuk bertambah takut. Dan apabila takut, maka adrenaline lebih banyak mengalir ke otak menjadikan pelajar tersebut lebih peka. Apabila peka, maka bunyi yang selalu ada tapi jarang didengari pun menjadi jelas kedengaran. Ini menjadikan pelajar itu bertambah takut dan adrenaline semakin mengalir. Kemudian, tiba-tiba ada sesuatu yang membuatkan dia terkejut contohnya kain putih yang dijemur kelihatan seperti hantu pontianak, maka pelajar tersebut terlalu terkejut dan adrenaline yang semakin mengalir menyebabkan dia lebih banyak berilusi. Maka, terjadilah kes histeria.

Dan melalui kes histeria, maka para-pelajar termasuk guru-guru pun menganggap ia adalah perbuatan hantu. Keesokannya, pelbagai variasi cerita seram terhasil. Ada yang cakap dia nampak pontianak, ada yang cakap dia nampak pocong, ada yang cakap nama hantu kopek dan lain-lan. Sedangkan 'hantu-hantu' itu hanyalah hasil mainan minda ketika terlalu takut.

Maka, tempat di mana pelajar tersebut histeria dianggap tempat keras. Dan memandangkan ia dikenali sebagai "tempat keras", maka pelajar lain yang mungkin keluar malam dan kebetulan lalu di tempat itu lebih mudah mengalami kes yang sama disebabkan pengetahuan yang mengatakan tempat itu keras. Maka dia pun juga ada kemungkinan besar mendapat ilusi seram. Dan jika ia terjadi, maka tersebar sekali lagi cerita seram yang mendakwa tempat tersebut berhantu dan begitulah seterusnya.

Mungkin juga ilusi hantu yang dilihat pelajar tidak begitu menyeramkan namun akibat perasaan enggan kalah saing ketika sedang bertukar-tukar cerita seram, maka cerita tersebut diperbesar-besarkan menyebabkan ia lebih mudah tersebar.

Ketiga-tiga ini adalah teori. Jika ada yang ingin memetik kata daripada artikel ini, tolong berikan kredit. Sekarang, admin tanya, mana satu yang anda rasa lebih benar? Atau anda ada pendapat sendiri?