'Kak M', Urban Legend UiTM KK Zaman Berzaman


Kenapa di UITM Kota Kinabalu, pantang bagi mereka untuk menyebut nama 'Melati'? Misteri tak terjawab ini dibahaskan siswa siswi institusi tersebut silih berganti sejak akhir 80-an sehingga kini. Ini adalah thread.

Cerita ekslusif ini dihantar melalui email kepada kami, oleh salah seorang pelajar universiti itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Rafi. 

Norma bagi mana mana institusi pendidikan, bermula sebagai junior. Junior berganti senior, senior kepada siswazah, siswazah kepada alumni. Namun cerita serta peristiwa yang lahiriahnya berlaku di institusi ini akan kekal segar zaman berzaman.


Perkara tersebut turut dirasai oleh saya serta pelajar pelajar di UITM KK, hari ini. ‘Kak M’, ataupun kata ganti kepada ‘Melati’, sebuah urban legend yang sentiasa ‘hidup’ bagi warga kampus ini.

Menurut kisah turun temurun dari senior kami, pada akhir 80-an terdapat seorang pelajar wanita bernama Melati, berusia 20 tahun ketika itu. Kejelitaan Melati tiada tolok bandingnya. Ramai pelajar lelaki jatuh hati kepada Melati.

Sehinggalah pada akhirnya dia bercinta dengan seorang lelaki atas dasar ‘suka sama suka’. Dipendekkan cerita pada suatu malam, mereka terlanjur. Kegelisahan itu bertambah apabila Melati disahkan hamil selang beberapa waktu berikutnya.

Lebih dahsyat, lelaki itu meninggalkan Melati sejurus mengetahui perkara itu. Sedangkan, lelaki itu harus bertanggungjawab! Namun dia memilih untuk meninggalkan Melati, seorang diri.

Tinggallah Melati meratapi caca marba kehidupannya seorang diri. Merintih penuh sedih. Gerun. Takut dengan bayangnya. Pada akhirnya, ketika cuti semester berlangsung, pelajar balik kampung. Melati pula memilih jalan yang tak terduga dek akal.

Melati bersama kandungannya, terjun dari tingkat atas asrama. Jatuh menghempas bumi. GEDBUKK!! Melati maut. Begitulah pilihannya. Menurutnya mungkin itu cara terakhir bagi keluar dari lembah penuh masalah dan kesedihan.



Peristiwa itu disenyapkan. Namun, cakap cakap orang tidak dapat dibendung. Peristiwa itu tersebar luas dalam kalangan pelajar. Sehingga merebak ke institusi lain. Termasuklah UMS, IKM, ILP, Sekolah Sukan serta Politeknik berhampiran.

Gempar. Aneh. Ngeri. Seram. Perkara itu mula menyelubungi mahasiswa dan mahasiswi, selang beberapa bulan selepas peristiwa Melati. Sampaikan tak boleh sebut nama “MELATI” sekadar untuk suka suka.

Hari ini, jika ada yang cuba untuk mengusik usik nama ‘Melati’, mereka boleh keteguran. Ada yang demam. Ada yang jatuh sakit. Jadi tak berapa betul. Jadi tak mahu bercakap dengan orang ramai. Begitulah.

Jika ditanya rakan rakan wanita saya, ada beberapa insan terpilih pernah terlihat sosok pelajar tak dikenali duduk di bangku ‘walk way’. Waktu tengah malam. Tak berbuat apa apa. Duduk diam termenung.

Apabila tiba musim histeria pula, seringkali keluar perkataan “Melati” dari mulut mangsa mangsa yang dinoda makhluk terkutuk ini. Ini juga menguatkan hujah kisah ‘Kak M’ bukannya dongeng semata. 


Selepas beberapa ketika peristiwa Kak M, bangunan asrama dikosongkan. Pelajar dipindahkan. Alasannya atas faktor muka bumi. Sehingga hari ini, strukturnya masih utuh meski terlihat sangat usang kerana tak berpenghuni.

Ada saja kumpulan pelajar lelaki cuba untuk menjenguk keadaan bilik Kak M di bangunan usang tersebut. Tapi tak semua berakhir baik. Ada antara mereka demam panas kerana keteguran.

Tidak pasti sejauh mana urban legend Kak M ini, jika pun benar, sekitar 32 tahun peristawa itu telah berlaku. Tetapi kekal menghantui siswa, siswi dan seluruh warga kampus sehingga hari ini.

Mungkin Kak M marah. Atau Kak M sekadar mahu berkawan.

-Rafi

------------------------------------

Jika ada cerita menarik yang mahu dikongsi, email ke seramshit@gmail.com . Kredit penuh diberi kepada empunya cerita.

Post a Comment

0 Comments