Pengalaman Terlihat Entiti Hodoh Ketika Menjadi Fasilitator


Pengalaman seram ketika menjadi fasilitator. Ini adalah thread.

Cerita ini dikongsi kelmarin melalui email seramshit. Empunya cerita tidak berminat untuk dikreditkan media sosialnya. Sebaliknya lebih gemar untuk dikenali dengan nama pena ‘Din Aqasya’.

*Kisah bermula.

“Pengalaman ini adalah ketika aku mengendalikan program 3 hari 2 malam bersama student PT3 dan SPM pada tahun 2015. sekitar 6 tahun lepas.

Nak dimulakan cerita pada hari kedua program, bermula pada pukul 12 malam. Bagi peserta, itu merupakan slot "Bahtera Alam Mimpi" dan mereka perlu lena. Pukul 4 nanti para Fasi akan bangunkan mereka untuk slot "Qiamullail". Dalam beberapa minit sahaja lampu dimatikan, beberapa orang peserta sudah tewas.


Mungkin impak daripada nasi berlauk kari ayam dan kemeriahan malam kebudayaan membuatkan mereka terlalu penat. Tapi ada beberapa orang peserta berdegil untuk tidak lena lalu bercerita sesama mereka. Kami biarkan.

Pada masa yang sama, aku dan Farhan pergi ke belakang (bahagian stor dapur, berdekatan dengan bilik mandi). Ketika itu kawasan tersebut kosong dan sunyi, Farhan membuka salah sebuah periuk yang terbiar di atas meja itu.

Rupanya masih banyak baki kari ayam dan nasi untuk dijamah. Apa lagi, dengan tak semena-mena kami terus melantak dengan puasnya.


Tak lama kemudian, meja itu mula dipenuhi para Fasi dan Urusetia program. Sesampai saja ada yang terus mencapai pinggan, mencedok nasi, mencurah kari ayam, lantas turut serta melantak juadah tersebut. Menyelerakan. 

Ada pula yang leka dengan permainan telefon pintarnya, ada yang mulakan ‘post-mortem’ akan aktiviti yang berlangsung sepanjang hari itu. Kami makan sambil mendengar dengan kusyuk.

Selang beberapa ketika, topik yang dibicarakan juga turut berganti. Mereka saling bertukar-tukar cerita dan pendapat, maka bermulalah diskusi-diskusi menarik pada tengah malam itu. 

Bermacam-macam topik dikupas, bermula cerita santai dan gurauan berkenaan program tadi, sehingga topik-topik berat yg mula diajukan oleh salah seorang urusetia, mencuri fokus kami yang asyik menjamah ayam kari. Topik itu berkenaan perayaan Asyura di Karbala, Iran.

Dia baru tengok video dekat liveleak, sekumpulan lelaki tak berbaju mencederakan diri sendiri menggunakan bilah pisau yang dipasang tali. Melibas bilah pisau ke belakang badan sendiri. Dihadapan khalayak ramai.

“Kerja gila.” katanya.

Masing2 bertukar pandangan dan cerita. Ada yang pada mulanya diam dan mendengar, kemudian mencela sebagai "hero". Tampil menceritakan hujah berfakta.

Tidak kelihatan sedikitpun anggukan-anggukan konformis mengiyakan orang lain, bahkan hadir dengan pendapat masing-masing. Fuh.

Kemudian, selang beberapa jam selepas itu, topik lain mula muncul, tapi kali ini agak sukar untuk dibahaskan kerana ia di luar kotak pemikiran masing-masing.

Topik tersebut adalah berkenaan alam Jin.

Suasana riuh, gelak ketawa sepanjang 2 jam itu terhenti dengan sendirinya. Segalanya bertukar serius dalam sekelip mata. Ada yang cuba mengalihkan tumpuan kami dengan membangkitkan isu2 dan alasan lain. 

Tetapi seperti tiada yang berminat, seakan semua menanti dengan penuh harapan berkaitan topik Jin yang akan kami bahaskan bersama.

Lebih-lebih lagi suasana pada pukul 2 pagi itu, dengan tiupan angin yamg sedang-sedang, disertakan suhu jatuh yang menyucuk, turut "memeriahkan" suasana.

Permulaan topik, aku menceritakan peristiwa Jin Ifrit tumpas kepada doa Nabi Muhammad semasa perjalanan Isra' Nabi dari Mekah menuju Palestin. Masing2 memberi tumpuan penuh kepada yang bersuara. 

Kemudian, beberapa orang dikalangan kami menceritakan pengalaman yang pernah secara sengaja bertemu dengan makhluk tersebut. Entah betul, entah tidak. Tapi yang pasti, bulu roma memang meremang habis!

Sehinggalah pada satu saat, secara tiba tiba salah seorang dari kami...

***

Seusai aku menceritakan segala sejarah dan kisah berkaitan kehidupan alam jin, masing-masing menghela nafas panjang, bukannya gembira kerana cerita itu sudah berakhir, tetapi bersemangat menantikan cerita selanjutnya daripada Izzat. 

Bagai ada ‘semangat’ untuk semua yang duduk di round table tersebut bersifat memberanikan diri. Sepanjang Izzat berbicara, kami bertanya itu ini, kemudian Izzat menjawab dengan tenang dan yakin.

Aku hairan dan rasa pelik, punyalah serius mereka semua ni. Tiada sedikitpun kedengaran gelak ketawa selepas topik ‘makhluk’ ini dibuka. Masing-masing serius dengan persepsi di lingkungan kotak fikiran mereka. 

Setiap pandangan tajam mereka menuju tepat ke arah yang sedang berbicara. Mungkin aura ‘makhluk’ tersebut turut bersama kami malam itu lalu membelai-belai jiwa kami. Ah sudah...

Kemudian, aku cuba lari daripada topik yang mereka perbahaskan. Aku mencapai gitar Rauf, lalu menyanyikan sebuah lagu berbahasa cina. Tong Hua apa entah tajuk lagu dia. 

Aku dengan santainya keluar pelan-pelan dari terus mendengar cerita-cerita mereka. Setiap lirik dengan nada dan sebutan cina itu turut memadam api perkauman yang dibakar syaitan di dalam diri. Kah3

Akhirnya, fokusku 100% tertumpu kepada petikan string gitar, dan chord lagu melalui telefon.

Selang beberapa detik membuai diri menghayati lirik lirik itu, pandangan ku tiba-tiba saja terarah ke satu persatu wajah urusetia dan fasi di round table tersebut. Akhirnya, pandangan ku terhenti pada wajah Aiman (Rujuk foto ke-2, memakai jaket hitam merah)

Reaksinya sedikit pelik. Kelakuannya aneh. Duduk diam sambil menghela nafas yang panjang berulang-ulang kali. Tercungap-cungap. Berpeluh! 

Aku sudah menyedari kelakuannya sejak aku berbicara lagi, tetapi aku biarkan. Tapi kali ini, tampak jelas seperti ada yang mengganggu ketenangannya. Serius weh!

Sedang suasana serius di round table itu mendengar kata-kata Izzat, Aiman muncul mencela. Dengan nada perlahan dia berbisik ke telinga Nas, kami dapat mendengar "Nas, teman aku masuk dalam!". 

Aku lantas mencela, "Uii dah kenapa tiba-tiba masuk nak mintak teman, punyalah dekat nak minta temankan?"

Perbualan di roundtable itu bagaikan ada "iklan" menyaksikan tingkahlaku Aiman yang lain macam. Selepas mendengar kata-kata Aiman, Nas dengan tenang mengiyakan untuk membawanya ke dalam. 

Wehh? kenapa ni? Mereka berdua (Aiman & Nas) bagaikan ada pakatan senyap untuk keluar daripada round table ini, kerana tidak adapun perbualan antara mereka sebelum ini, tetapi bagaimana situasi itu berlaku spontan! *mereka berdua berlalu masuk ke dalam.

Situasi itu bagaikan merasuk minda kami semua. Mana taknya, tengah-tengah kami berbicara tentang ‘makhluk’ itu, salah seorang rakan kami "tewas" di tengah-tengah bulatan perbualan. 

Pada aku, ada sesuatu cuba mengganggu agar kami dengan segera menghentikan perbualan ini. ‘Sesuatu’ yang aku maksudkan itu... Weh kau boleh fikir sendiri.

Selang 2 minit, Nas tiba-tiba muncul secara tergesa-gesa ke arah kami. Sudah pasti ada benda mustahak untuk dia sampaikan.

"Weh, kaki dia sejuk gila! Sudahlah wehh!"

Perh... Umpama ada halilintar baru sahaja singgah menyambar perasaan kami selepas mendengar kata-kata Nas, masing-masing memahami apa yang baru saja Nas katakan.

Simple saja aku kata, Aiman kena kacau! Patutlah reaksinya sepanjang topik itu dibuka mula berubah. Sebenarnya apa yang aku sangkakakan itu betul, sepanjang kami duduk di round table itu, seakan ada "semangat" yang cuba mengganggu perbualan kami.

Dan sekarang, "semangat" itu berjaya melemahkan salah seorang dari kami!

Tanpa berfikir panjang, kami decide untuk kosongkan meja itu serta merta.

Pada subuh yang hening, dingin dan tenang itu, kami diselubungi perasaan cemas.

Aku risau, sekiranya "semangat" itu mula bersifat ganas lalu menerobos masuk dan menghuni setiap jiwa lemah di antara kami. Maklum, benda-benda sebegitu sekiranya tidak dikawal, pasti membawa padah.

Mujur, beberapa minit kemudian kami dapat mengawal keadaan tanpa mengganggu peserta lain yang sedang lena di slot "Bahtera Alam Mimpi".

**

Kami berkumpul di hujung tikar tempat tidur peserta. Membincangkan perkara cemas yang baru kami lalui. Cerita punya cerita, rupanya ada entiti yang mereka dah tengok! Paling real, bukan Aiman sahaja yang melihat entiti itu, Nas dan Mazlan juga melihat kelibat yang sama! Gila!

Patutlah ketika Aiman membisikkan hasratnya untuk masuk ke dalam, Nas tanpa sedikit persoalan pun membawa Aiman masuk. Baru kami faham, sepanjang kami berbicara di round table itu, sebenarnya tiga orang di kalangan kami sudah diganggu!

Hanya situasi Aiman yang dapat menjelaskan perkara yang berlaku, kerana Nas dan Mazlan hanya berdiam diri. Tak cakap apa apa. Tak ada reaksi.

Cerita panjang kami pun berakhir dan Aiman kembali tenang kerana dikelilingi oleh kami. 

Aku tak mahu sambung cerita, kerana takut kau akan terpengaruh. Sebenarnya kau yang membaca thread ini, tak kisahlah di mana-mana, pasti ada benda yang lain turut menghuni dan menumpang tempat kau sekarang. Sendiri fikir ok?

Dapat aku ringkaskan,

*Di pokok mangga, (rujuk foto ke-2) Mazlan dan Aiman terlihat entiti duduk bertenggek menyaksikan perbualan kami. Berbaju putih kekoyakan. Berwajah hodoh. Mulut luas melopong!

*Di pokok pisang, (sebelah kanan pokok mangga) Nas dengan jelas melihat kelibat entiti bongkok berambut panjang dengan ketinggian luar biasa sedang melintasi round table kami. Damn!

Syukurlah, "semangat" itu hanya menggertak jiwa kami. Mungkin kami telah mengganggu mereka? Sehingga terbuka hijab antara manusia dan makhluk itu, membuatkan Nas, Mazlan dan Aiman melihat sesuatu yang mereka tidak akan pernah lupakan.

Ingatlah rakan2, tiada apa pun yang berkuasa di alam ini melainkan Allah S.W.T, dan tiada sesiapapun yang mampu menandingi kekayaan, kebesaran dan keagunganNya.

Yang benar tetap benar, Yang dusta akan fana.

Sekian, Wallahualam

-Din Aqasya

------------------------------------

Jika ada cerita menarik yang mahu dikongsi, email ke seramshit@gmail.com . Kredit penuh diberi kepada empunya cerita.

Post a Comment

0 Comments