Festival Perarakan 22 Mumia Keturunan Diraja Mesir


Pemindahan 22 mumia diraja dari Pusat Kota Kaherah ke tempat persemadian baharu di sebuah muzium selatan ibu negara Mesir menjadi satu titik bersejarah bagi rakyatnya. Apa tidaknya sebuah malam hujung minggu di ibu negara Mesir menjadi medan festival perarakan mumia diraja ini.




Sebenarnya acara ini dianjurkan untuk menunjukkan khazanah negara Mesir yang kaya dan terkenal dengan kisah-kisah lagenda firaun mereka. Mumia diraja ini diarak dan bergerak sepanjang laluain pinggir Sungai Nil dari Muzium Mesir, melewati Dataran Tahrir, menuju Muzium Nasional Peradaban Mesir di kejiranan Fustat.


Mumia ini dibawa di dalam bekas yang dilengkapi kawalan suhu, lalu diletakkan di atas trak yang dihiasi sayap dan corak motif zaman firaun. Perjalanan ini memakan masa selama satu jam dari Muzium Mesir.

Apa yang membuatkannya lagi menarik dan unik adalah rekaan kenderaan yang membawa mumia ini seumpama perahu zaman Firaun.

Menurut Kementerian Pelancongan Dan Antikuiti, kebanyakan mumia ini adalah dari kerajaan usang yang pernah memerintah mesir dari tahun 1539 sehingga tahun 1075 sebelum masihi.


Ini termasuklah mumia Ramses II yang paling terkenal dan Ratu Hatshepsut yang merupakan satu-satunya Firaun wanita Mesir.  Ratu Hatshepsut terpaksa untuk memakai janggut palsu untuk mengatasi tradisi bahawa wanita hanya memainkan peranan kedua dalam hierarki diraja.




Menurut sejarah, mumia lain iaitu 19 firaun dan empat keluarga diraja lain telah dikebumikan sekitar 3,000 tahun lalu di makam rahsia di Lembah Raja-Raja di Tapak Deir El-Bahri yang terletak  berdekatan bandar Luxor. Pada kurun ke 19, makam ini buat pertama digali semula.

Selepas ekskavasi, semua mumia ini dibawa ke Kaherah dengan bot menerusi Sungai Nil. Ada yang dipamerkan dalam bekas kaca, sementara yang lain disimpan secara bertutup. Mayat mumia Ramses II telah dibawa ke Paris pada 1976 untuk kerja-kerja restorasi oleh saintis Perancis.



Presiden Mesir, Abdel Fattah el-SiSSi, yang menyambut mumia-mumia itu di muzium baharu, menyatakan dalam akaun twitter rasminya " Suasana yang luar biasa ini adalah bukti baharu tentang kehebatan rakyatnya, yang menjaga sebuah peradaban unik bagi sejarah yang amat dalam."

Di muzium baharu nanti, 20 mumia akan dipamerkan manakala dua lagi akan disimpan.

Sumber: mykmu.net 

Post a Comment

0 Comments